Wednesday, October 27, 2010

allahumma sabbitni 'ala haza ad-din..

Baru-baru ini suami menitip email pada saya. Baru saya teringat sewaktu pernah menuntut amanat darinya lantaran akan berpisah jauh.. "ala, sayang.... zaman sekarang kan dah moden, boleh je nak email, sms la bagai..." Selorohnya. Tak sangka, kata-katanya itu benar-benar dikotakan. Ini betul-betul amanat bagi saya..pengubat rindu yang pastinya. Terima kasih abang...


assalamualaikum.. ku mulakan kalam dengan nama Allah al-'Azim.. entah macammana abang nk mulakan bicara, pertamanya, percayalah pada abang, abang sentiasa mencintai isteri abang, dunia dan akhhirat, abang sentiasa mendoakan kesejahteraan kita di sini, dan di sana kelak..abang juga sentiasa berdoa agar allah izinkan lagi kita bercinta di syurgaNya kelak..

sayang...
perpisahan sementara kita ni, benar2 menuntut kesabaran dan kecekalan hati untuk menempuh hari yang mendatang, kita bertanggungjawab atas risiko yang kita ambil untuk berkahwin awal, kita berkahwin bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan nafsu (walaupun itu adalah maksud perkahwinan), tapi, kita memiliki tanggungjawab untuk membuktikan bahawa orang yang berusaha mengikut syariat Allah, adalah lebih berjaya daripada orang lain..

yakinlah kita dengan janji Allah, Allah tidak akan mensia-siakan amalan orang muhsinin.. takde sape yang inginkan perpisahan, duduk berjauhan suami isteri, menyanggahi fitrah orang berkahwin, tapi abang sangat bercita-cita mati di di jalanNya yang mulia ini,

sayang..
bersedialah menjadi isteri yang tabah, sebagaimana tabahnya isteri para pejuang agama yang mendahului kita, walaupun abang bukan orang yang hebat, x layak pun lagi bergelar pejuang, tapi, tetaplah sayang berjuang menjadi isteri yang hebat.. abang juga akan sentiasa berjuang menjadi seorang suami sebagaimana sabda nabi s.a.w, "sebaik-baik kamu ialah orang yang berbuat baik kepada ahlinya"

sayang..
abang terlalu menghargai sayang, abang tak akan mensia-siakan sayang, besar benar anugerah Allah pada abang, mengurniakan abang seorang isteri yang menjadi penyejuk mataku... justeru, abang akan membuktikannya dengan tindakan..InsyaAllah..abang akan sentiasa menyayangimu sepenuh hati abang..maafkan abang, redhalah kepada abang..kerana terpaksa meninggalkan sayang berjauhan dalam tempoh yang panjang..

sayang..
akhirnya, abang sentiasa yakin dengan agama isteri abang, tunaikanlah hak-hak Allah dengan sebaik mungkin ye..doalah pada Allah, cinta kita bertunjangkan cintaNya, tak puas mencintaimu sayang di dunia ini, aku ingin terus bercinta denganmu di sana kelak..ameen..

yang benar,
suamimu..


Suami saya akan pulang pada 24 Januari tahun depan. Tak sabar menunggu kepulangannya. Kepulangan seorang mujahid agama, mujahid dakwah...Allahumma aamin. Mudah-mudahan usaha pembaikan saya akan terus berjalan walau tanpa suami di sisi. (Allah kan ada...^_^) Selepas-selepas ini akan balik 4bulan sekali katanya... Insyaallah, alhamdulillah.....

Saya, "Accident", "Ketukan Abah" dan "Khaulah Binti Tsa'labah"...

*Ketika posting ini ditulis, baru 6 jam selepas saya terlibat dengan kemalangan jalan raya. Pedih di hati masih terasa, rasa terkejut pun masih bersisa. Mengimbau balik detik-detik sebelumnya amat penting bagi saya untuk diambil daripadanya hikmah dan pengajaran. Saya cuba berkomunikasi dengan hati melalui pena, agar hati saya tidak mati dek kerana putus asa dengan takdir Allah. Mungkin ada sesuatu yang saya dapat kongsikan dengan sahabat-sahabat semua demi sebuah pembaikan.

Kaki saya menakah laju ke kereta... pagi ni saya keluar agak lewat. 7.50a.m. Kepala saya berbinar memikirkan reaksi ustaz lutfi (pensyarah madah fiqh jinayat) melihat kepada pelajar yang masuk lewat. Sebelum itu di bilik asrama pelajar perempuan, saya leka membuat persiapan presentation untuk subjek "Banking and Security" yang dijadualkan pada pukul 10a.m nanti. Fikiran saya berserabut memikirkan apa yang boleh saya usahakan untuk memahamkan kawan-kawan nanti. Tiada siapa pernah mengedarkan handout pada presentation lepas-lepas. Tapi saya dah berazam nak edarkan pada kali ini. Sebab saya pasti, "no one could understand, only i can jot down some main points to them". Tiada siapa boleh faham hanya dengan pembentangan lisan semata. Saya sendiri mengambil masa untuk digest "Capital Market and Services Act 2007". Itupun banyaknya saya tak berapa nak faham. Tapi, untuk summarise sekadarnya, insyaallah.. Lalu saya bertekad nak curi-curi masa dalam kelas fiqh jinayat untuk "conteng-conteng" yang sekadarnya untuk diedarkan pada kawan-kawan sewaktu present nanti.

Sewaktu nak exit pagar asrama, saya kasihankan sahabat-sahabat yang beratur panjang menunggu bas yang tak kunjung tiba. Saya tumpangkan beberapa orang untuk ke kampus USIM. Masa berlalu tanpa menoleh. "Kak yam selalu ke keluar lewat?" Syu, sahabatku bertanya. "Sejak dah ada kereta ni, selalu lah macam ni. Kalau naik bas, memang dah lambat lah..." Saya menjawab tanpa soal. Kaki cekap menekan pedal minyak sambil bertukar-tukar cerita.

MALANG TAK BERBAU

Kereta yang saya langgar.. Walaupun kereta saya lebih teruk keadaannya, gambarnya lansung tidak diambil..

Dari kejauhan di simpang ke Bandar Baru Nilai, saya identified lampu trafik bewarna hijau. Angka digit banyak lagi, dan saya tak mengejar lampu isyarat. Kereta saya terus meluncur. Kereta semakin mendekat dengan kereta di hadapan. Honda Civic, model yang agak terkini. Benak saya lambat mentelah, kereta-kereta di hadapan tidak bergerak. Otak saya lambat memberi reaksi, saya bingung...panic barangkali. Kereta saya laju, tiada possibility nak elakkan pertembungan. Saya keliru, kereta di hadapan saya mengapa tak berjalan. Tiba-tiba, "Dummmm!!!!!" Masa bagi saya seakan terhenti. Baru saya sedar, trafik baru bertukar hijau. Kereta-kereta seakan mengambil masa untuk bergerak kerana beratur panjang. Saya sebenarnya "hilang" sewaktu kejadian itu berlaku.. Begitu pantas sekali. Air mata lansung tak keluar. Alangkah lambatnya otak saya merespon, hati saya lambat berasa. Tak seperti selalu. Satu saja dalam fikiran ketika itu, "Allah... ampunkan dosa hambamu!"

Perlahan-lahan terbayang wajah suami, abah, mak langat, mak kkb..... Dengan siapa saya nak bergantung ketika ini.... Pemuda cina, pemilik Honda Civic yang saya langgar meluru ke arah saya. "Ini sudah macam mana? Kenapa boleh jadi begini? kenapa you langgar kereta saya?" Ini macam, mahu kira camana? Saya claim insuran dari awak kalau begini..." Saya terteleku dimarahi. Sungguh! Saya hilang punca. Kereta abah remuk di hadapan, mahu 3-4 ribu kalau hantar workshop. Kasihan abah, sampai sekarang saya masih bergantung padanya memandangkan saya masih belajar lagi. Saya terfikir sahabat-sahabat yang saya tumpangkan... Saya risaukan presentation saya.... Tak ada peluang untuk dapat markah carrymark untuk subjek ini kalau bukan hari ini... kebarangkalian untuk saya ke kelas fiqh jinayat juga sudah tiada. Saya pasrah..

PRESENTATION

Selesai dari membuat report di Balai Polis Nilai, saya menaiki teksi ke kampus. Duit satu sen pun tiada pada saya. Mujur Syu di sisi. Dengan bayaran rm 15, sampai juga kami di FSU. Saya melangkah kaki ke kelas berbekalkan kefahaman yang tak seberapa. Saya tekad menerangkannya semampu yang boleh walau tanpa "ABM" (alat bantu untuk pembentangan). Saya laluinya sekadar yang saya mampu dengan semangat yang masih ada. Saya sedar, seringkali saya tergagap kerana kurang preparation, kurang tumpuan. Persiapan terakhir tak dapat dilaksanakan sehingga ke akhirnya. Tapi, alhamdulillah....selesai juga..

KETUKAN DARI ABAH DAN KISAH KHAULAH BINTI TSA'LABAH

"Apa dosa kamu, Allah nak bagi kaffarah... Ke dosa abah, pun tak tau..." Terpana saya mendengar bicara abah.. Saya boleh ambil sesuatu. Kalau ada apa-apa yang berlaku, semak balik perbuatan kita sebagai hambaNya. Yang mana yang mungkin mendatangkan murkaNya... segeralah kita bertaubat kepadaNya.. Sucikan kembali diri kita sehingga memungkinkan doa dan munajat dapat menembusi langit sebagaimana adanya kisah Khaulah Binti Tsa'labah. Wanita yang bukan calang-calang sampai pengaduannya kepada Rasulullah s.a.w didengari Allah s.w.t. Cetusan rasanya diberi perhatian besar oleh Allah s.w.t sehingga menjadi prinsip dalam perundangan syariah Islam seperti yang termaktub dalam Surah al-Mujadalah. Khaulah adalah seorang wanita biasa di zaman Rasulullah s.a.w yang tak mungkin disamakan dengan wanita biasa di zaman ini! Allah s.w.t hadir mengikuti perkembangan isu peribadi seorang wanita Islam biasa akan pengaduannya kepada Rasulullah s.a.w tentang perlakuan suaminya yang buruk sehingga men-zhihar isteri. Inilah yang menyebabkan Allah s.w.t menurunkan hukumnya dari tujuh petala bumi. Melihat pada masa diturunkan ayat ini, adalah ketika mana di zaman Madinah. Zaman yang mana menempatkan satu jemaah yang baru "tumbuh". Masyarakat di zaman itu memiliki iman yang matang, gambaran yang sempurna tentang akidah Islam dan jiwa yang tulus untuk akidah ini, termasuklah serikandi Khaulah. Dalam kisah ini, kita dapat melihat Allah telah memberi perhatian dan pemeliharaan yang besar juga teliti akan jemaah yang baru tumbuh ini. Allah s.w.t telah mentarbiyyah mereka dengan manhaj-Nya dan menyemai ke dalam setiap diri anggotanya perasaan berada dalam pemeliharaan-Nya itu.

"Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil dia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliah) dan itulah batas-batas hukum Allah dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (al-Mujadalah : 1-4)


Apakah rahsia untuk jadi seperti Khaulah...Akidah yang tulus, iman yang tinggi, dan prinsip yang kuat...

PENGAJARAN

Ada beberapa pengajaran untuk saya koreksi diri....

1)Sentiasa bertaubat kepada Allah dan memelihara diri dari dosa.
2)Keluar ke kampus lebih awal untuk mengelakkan segala kemungkinan buruk akibat terburu-buru.
3)Sentiasa redha akan segala ketentuannya.
4)Hargai mak ayah.
5)Hargai sahabat. Terima kasih Syu kerana bersama akak di sisi (^_^)
6)Kena kuat walaupun suami jauh... TT

Wallahu'alam....

Tuesday, October 19, 2010

Coretan Pertama Setelah 3 Bulan....



Menjadi seorang isteri merupakan episod yang amat nostalgik bagi seorang anak perempuan. Tak kurang juga ianya agak mendebarkan... Saya mulanya kekok memasuki alam ini kerana berada di samping seorang lelaki yang sangat asing bakal berkongsi hidup mencipta kisah kami berdua. Sesuatu kisah takkan seronok sekiranya watak di dalamnya tidak memainkan peranan masing-masing dengan baik. Kami bermula dengan taa'ruf, memang sangat janggal memulakannya buat kali pertama (bagi mereka yang tak pernah berkenalan sebelumnya). Tapi ternyata firman Allah dalam ayat 21, Surah ar-Ruum...


Justify Full
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."


Nasihat saya bagi yang masih gadis, jangan lah kalian risau sama ada betah atau tidak dengan suamimu nanti walau tidak melalui proses 'coupling' sebagaimana mereka yang lain..... cukuplah dengan jawapan istikharah + restu mak ayah + istisyarah dengan seorang yang dipercayai (ulama', ustaz, ustazah, kaunselor etc) akan perawakan sang teruna...

Membiasakan diri dengan alam rumah tangga bukan suatu yang sukar sekiranya seorang isteri dapat meletakkan seluruh kepercayaannya kepada kepimpinan suami. Letaklah suami dengan kedudukan paling mulia nescaya kamu bakal diletakkan di kedudukan yang mulia pula di hatinya sebagai teman yang paling dia cintai.

Berilah peringatan padanya selalu supaya tidak lalai berbakti pada ibunya (esp) dan ayahnya dan pastikan dia melayan keduanya melebihi dari sebelum dia berkahwin. Itulah kebahagiaan sebenar seorang isteri kerana tidak menjadi sebab suami dimurkai Allah.

Kita sebagai isteri merupakan simpanan berharga bagi suami.

*

Dan... akhirnya... diri kita sendiri.... sayangilah ibu yang melahirkan dan membesarkan "cinta kita" ini... But then, jangan lupa kedua ibu bapa kita yang sentiasa ingin melihat kita bahagia, rela bersusah demi seorang anak perempuan kesayangan walau tahu suatu hari nanti mereka akan menjadi kedua dan ketiga dalam tingkat prioriti ketaatan... Akal kita mampu mentafsir, nubari kita cekap merasa, emosi kita boleh bertindak balas dalam usaha membalas pengorbanan mereka (walaupun takkan terbalas) demi mencipta sebuah kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat...

Kita adalah isteri kecintaan,,, kita juga anak perempuan kesayangan,,, suatu hari nanti bakal menjadi manusia barkah dengan melahirkan zuriat soleh solehah... Amin Ya Mujibassailiin...


*Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Hakim, disahihkan oleh al-Imam as-Suyuti.

DIDIKAN SEKOLAH KEHIDUPAN

Teringat tentang novel ‘Ayat-Ayat Cinta’ karangan Habiburrahman, Fahri, hero ciptaan pengarang tersebut, berjuang mengharungi panas sekitar 39-41 darjah celcius, untuk pergi mendambakan diri mengorek khazanah ilmu di bumi Mesir. Saya tersenyum sambil bermonolog, “suhu macam tu tak lah panas sangat, di Sudan ni, itu suhu tengahari di musim sejuk ni..!” Jika Fahri itu adalah insan di dunia realiti, saya memang akan mengaguminya, mencari sumber kewangan dengan menterjemah buku untuk menyara kehidupan di negeri orang..tidak merengek meminta simpati orang.. kehidupan seharian jika diteliti ada ‘ibrah yang boleh diambil.

PASAR YANG MENDIDIK

“Panasnye hari ni kan ayah?” keluh saya sambil mengupas bawang.. Balas ayah, “hmm..dah biase dah” Tiba-tiba teringat bualan biasa saya dengan ayah di Pasar Peladang Kuala Kubu Bharu.. biasanya saya akan membantu ayah berniaga di waktu cuti sekolah ,menjual bawang, cili kering dan pelbagai lagi bahan kering yang lain. Dapat juga duit belanja di sekolah. Kami adik-beradik, angah, abg emi, abg dan, dan saya, memang dididik untuk tidak memiliki wang dengan senang, nak duit, cari sendiri! Bukanlah mak dan ayah langsung tak pernah memberi duit belanja, tapi kami tidak pernah dimanjakan dengan sogokan wang! Berpanas di pasar terbuka, ada lagi payungnya, tak lah terlalu panas.. mengajar kami erti kehidupan, belajar berniaga, belajar bermuamalah dengan ramai orang, pelbagai bangsa, peringkat umur, macam-macam jenis manusia yang anda boleh jumpa di pasar.

PASAR TEMPAT MAKSIAT??

Bukan di pasar sahaja, malah di mana-mana!! Benar susah dan sukar menjaga mata ketika di pasar, tetapi dunia hari ini menghidangkan seribu satu jenis pandangan maksiat tanpa perlu ke pasar.. 'ibrah dikutip, kebobrokan pasar dibuang semampu mungkin.

DIMANA HASILNYA??

Di Sudan saya berusaha untuk tidak bergantung dengan subsidi keluarga, saya berusaha mencari sendiri sumber kewangan untuk menyara hidup, membeli buku dan sebagainya, sehinggakan tiket saya ke Sudan juga saya usahakan sendiri.. tidak pernah saya lupakan, inilah didikan yang Allah kurniakan melalui ibu dan ayah sejak kecil.. terima kasih mak..ayah..

DAKWAH MEMERLUKAN KEBERANIAN BERMUAMALAH

“Kuranglah sikit harga dek..” kata seorang pelanggan.
“tak boleh la cik, cuba kalau saya mintak naik sikit harga yang saya letak ni?” provok saya..
“Berniaga tak boleh malu-malu” kata ayah..
“Ha mari-mari bawang sekilo seringgit..!” dan macam-macam lagi ungkapan penarik yang kita biasa dengar di pasar.. kelihatan mudah, cuba dulu baru tau mudah tak mudah!! Bukan mudah membuang perasaan segan untuk melakukan semua itu..
Begitu juga dakwah, keberanian bersuara, melontarkan pandangan dan berhujah menegakkan kebenaran, semuanya memerlukan keberanian membuang perasaan segan dan rendah diri yang tak kena tempat.
Keadaan ini juga menjadikan saya menjadi minat serba sedikit dengan ekonomi dan kewangan.. sebagaimana kata saydina Umar al-Khatab, “jangan kamu berniaga di pasar kami melainkan kamu faham akan agama (hukum-hakam berkaitan jual beli)”

DIDIKAN YANG TIDAK TERNILAI

Saya ingin sekali mencabar diri untuk lebih maju dan tidak terus berada di takuk yang sama.. kesempatan yang Allah beri untuk berada di bumi Sudan ini akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk saya memajukan diri demi menjadi “die hard fan” Islam dan perjuangannya.. ilmu bukan sekadar di buku dan universiti, tetapi kehidupan anda adalah universiti yang lebih luas lagi dan banyak lagi yang belum diterokai..

*Credit buat suami atas tulisan yang terkandung pelajaran...

Ikhwan Untuk Semua

Oleh: Muhammad Ahmad ar-Rasyid

Sebahagian murabbi dan pemimpin dakwah merasa kecewa apabila berurusan dengan pengikut-pengikut mereka yang futur. Kesimpulan segera mereka ialah orang yang lemah memang lembab, manakala orang yang ada dua kaki hanya menggunakan sebelah kaki ke akhirat, sebelah kaki lagi mereka biarkan bergelumang dalam perhiasan dunia.

Pemimpin-pemimpin yang tidak sedikit bilangannya itu, -dalam keadaan tenggelam punca berdepan dengan hakikat kehidupan yang diciptakan Allah serta terlupa bahawa pembahagian kudrat akal dan gerakan hati sama seperti ketetapan-Nya dalam soal rezeki- mengambil jalan mudah mengetatkan keanggotaan jamaah dakwah, lalu berasa selesa dengan keunggulan jamaah rahsia. Mereka telah dibuai dengan khayalan sehingga menyangka bahawa formasi jamaah sebegitu adalah jawapan dan penyelesaian bagi pelbagai krisis dan kelemahan yang mereka hadapi. Tonggak rekabentuk jamaah mereka ialah orang yang genius, cerdik, bijak, berdaya tahan, banyak berkorban, peribadi yang kuat, penyabar, memiliki sifat proaktif, perintis, penemu perkara baru dan berani mengambil risiko.

Orang-orang yang lemah, kurang cerdik, lembab, tenggelam dalam rutin harian, pengejar pangkat tinggi dan keuntungan, yang sekadar mengintai-intai atau memang menyambar sedikit keseronokan, tempat mereka di sisi pemimpin-pemimpin tadi ialah platform-platform, jamaah-jamaah Islam yang lain dan institusi-institusi yang diwujudkan. Cukuplah bagi mereka sekadar membahagi-bahagikan senarai orang yang hebat dan elit yang ada pada mereka, untuk menyelinap ke dalam platform, jamaah dan institusi tersebut. Senarai orang hebat dan elit ini berperanan dalam kuasa pentadbiran platform, jamaah dan institusi tadi, di samping memainkan peranan untuk mendekatkan organisasi terbabit dan pendukung-pendukungnya kepada kefahaman, jalan dan objektif jamaah rahsia mereka. Bagi mereka, cara ini akan menghasilkan satu keseragaman umum yang dapat memenuhi tuntutan kepentingan Islam di negara terbabit, tanpa menzahirkan ikatan individu-individu elit itu dalam sebuah jamaah induk yang bersifat rahsia, yang mana hakikat mereka disembunyikan selama-lamanya.

Terdapat pengaruh hawa nafsu dalam perancangan sebegini, kilauan yang memperdayakan orang yang tergesa-gesa, menjadi satu impian yang melubuk di sanubari, sehingga menganggap pandangan mereka itu adalah hasil kesedaran yang sempurna, erti perkembangan yang stabil, kesimpulan pengalaman dan petanda kematangan. Tetapi, analisa secara tenang menzahirkan bahaya hala tuju ini, menampakkan beberapa kemungkinan timbulnya pelbagai masalah tarbiyah, mentaliti dan amali. Bahkan akan mengganggu dan mengelirukan fikrah, malah menggugat neraca iman dan fitrah sehingga tergendala. Sekurang-kurangnya ia merupakan penyelewengan daripada jalan al-Imam al-Banna rahimahullah dan uruf Ikhwan yang diwarisi.

Kami tidak mengatakan al-Imam Hasan al-Banna maksum. Kami juga tidak bermaksud bahawa struktur tanzim, manhaj tarbiyah dan pemikiran dakwah yang dimulakan oleh al-Imam dan dikembangkan oleh pengganti beliau merupakan perancangan terakhir dan penutup kefahaman. Sebaliknya, kami percaya perlunya pengembangan dan tidak memandang struktur tanzim sebagai kudus. Tetapi, setelah umur meningkat, pengalaman di medan semakin mendalam, kami panjangkan renungan, timbangkan hasil-hasil dan menjelajah ke negara Arab dan Ajam, kami dapati bahawa apa yang dibuat oleh al-Imam al-Banna tidak hanya lahir daripada ijtihad dan kefahaman jitu tentang dimensi serta kesyumulan dakwah, juga bagaimana cara untuk membina dan menyebarkannya, semata-mata. Bahkan ia lahir daripada ilham rabbani yang menunjukkan jalan yang betul.

Oleh sebab itu beliau menghimpunkan antara orang intelek dan sibuta huruf, muda dan tua, orang bandar dan orang kampung, pemberani dan pengecut, cerdik dan lembab, kuat dan lemah, kaya dan miskin, berdedikasi dan berkepentingan, lelaki dan perempuan, tergabung dalam satu jamaah yang berusaha mempersembahkan model Islam semampu mungkin, serentak teori dan amali. Semua itu berlaku secara terbuka mempromosi diri, kecuali ketika dikekang tuntutan darurat fasa permulaan dan pengasasan awal, atau ketika suasana ancaman ketegangan yang jarang berlaku.

Amal dakwah, yang syumul dan lengkap, mempunyai banyak bahagian, jenis dan terma, yang mana lebih separuh daripadanya merupakan perkara teknikal yang tidak memerlukan kecerdikan, ketahanan dan kekuatan luar biasa. Ia boleh saja dilaksanakan oleh para pendakwah yang naif, mungkin, dengan spontan dan mudah, dipimpin oleh keringkasan iman fitrah, tetapi pekerjaan itu tetap mempunyai nilai ihsan, itqan dan berkualiti. Pekerjaan itu tidak semestinya mudah bagi seseorang yang bijak lagi kuat dan berani untuk berbuat begitu. Bahkan kemungkinan kelompok pendakwah elit sendiri tidak mampu melakukannya, kerana mereka tidak dicipta untuk itu.

Setiap peribadi yang terbatas kemampuannya, ada tempatnya. Pada dinding dakwah ini ada bata yang diperbuat daripada emas, perak, tembaga, besi dan kaca. Bata emas akan cair kerana kepanasan melampau walaupun ia lebih berat daripada besi empat kali ganda. Besi yang keras pula tiada kilauan dan tidak cantik. Seni-seni tertegak di atas aliran kesamaan dan kepelbagaian warna itu. Begitulah kehidupan tertegak atas perhimpunan pelbagai darjat manusia.

Di dalam jamaah seharusnya berbaris petani di samping doktor, buruh di sebelah jurutera, pelajar dengan guru, wanita di belakang lelaki, sibijak di depan yang kurang bijak, sipemberani berjabat tangan dengan orang yang ragu-ragu, yang kuat mendorong yang lemah, yang cepat menarik yang lembab, kerana semuanya dipermudahkan mengikut tujuan ciptaannya. Tetapi hakikat-hakikat semudah ini kadang-kadang tidak disedari dan orang-orang yang bijaksana terpinga-pinga berdepan dengan rahsia kejadian qadar rabbani dan puncanya. Dalam sejarah kita dan sejarah Islam secara umum terdapat kisah-kisah mengagumkan dan peristiwa-peristiwa pelik yang menyingkap keindahan pembahagian qadar dan peranan. Dalam kisah-kisah itu (difahami) terdapat larangan agar tidak memandang sepi penyertaan orang yang kusut masai berkain buruk serta mengalu-alukan orang yang hanya kenal dua huruf.

Tentang bicara lalu, yang menitik beratkan penyertaan peribadi yang kuat lagi cerdik, di dalam Muntalaq atau al-Masar atau dalam buku ini, ia merupakan kelebihan yang tidak dipersoalkan dan difahami dengan sebaiknya, atau ia adalah wasiat fasa pengasasan, kerana terdapat dalam fasa tersebut situasi yang kritikal. Manakala selepas fasa itu, pintu dakwah sentiasa terbuka bagi sesiapa yang datang dengan keikhlasan. Berapa ramai pendakwah yang berada dalam saf paling akhir, yang mana kalau dia tidak hadir tiada siapa yang akan bertanya, telah mencoret kisah-kisah keberanian. Apabila niat ikhlas, amalan akan diberkati. Huruf-huruf daripada kitab iman, qadar dan keberkatan ini tidak dikenali selain orang yang tenggelam dalam kolam; kolam pengorbanan dakwah.


Sumber : Blog Ustaz Hazizi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...