Sunday, December 12, 2010

Susu Kering/Tiada susu: Fakta atau Mitos

Oleh Suria Irdayu Ahmad Zaidi, PCPA, Malaysian Breasfeeding Peer Counselor

“Memang jenis susu cepat kering, memang dari anak no 1, memang fesyen badan mcm tu.”

“Saya ni genetik susu sikit, mak saya, mak cik-mak cik semua pun susu sikit. Jadi memang kena bagi susu formula.”

“Tak bagi susu badan, sebab tak ada susu.”

Ini adalah di antara respon dari ibu-ibu yang tidak berjaya menyusukan anaknya secara eksklusif. Persoalannya, benarkah akan ada ibu-ibu yang tidak mampu menyusukan anaknya secara eksklusif? Adakah penyusuan ibu itu satu rezeki di mana akan ada ibu-ibu atau anak-anak yang ‘tiada rezeki’ memberi dan menikmati susu ibu?

Hakikatnya, semua ibu-ibu yang mengandung itu mampu menghasilkan susu dan menyusukan anak-anaknya. Begitu juga ibu-ibu yang tidak mampu mengandung, dengan kaedah yang betul (induce lactation), ibu-ibu ini mampu menyusukan anak angkatnya.

Tiada susu

clip_image001

Susu telah mula terhasil sejak ibu itu mengandung pada minggu ke 22. Proses ini dipanggil Lactogenesis I dan ia didorong oleh tindakan hormon. Lactogenesis I akan berlarutan sehiggalah hari ketiga kelahiran bayi. Apabila uri telah dikeluarkan dari rahim ibu, tahap hormon progesteron dalam badan akan jatuh dan hormon prolaktin akan terus meningkat. Disebabkan oleh keberadaan uri/bayi di dalam rahim, susu yang terhasil itu dikekang daripada keluar lebih awal. Namun, akan ada ibu-ibu yang mengalami susunya keluar lebih awal daripada kelahiran bayi. Ini juga berlaku atas tindakan hormon kerana setiap orang itu berbeza-beza. Pada ketika ini, susu yang keluar berbentuk kolostrum yang pekat, berwarna kuning keemasan. Kuantitinya kecil tetapi cukup dan memadai dengan keperluan bayi yang hanya memerlukan 5-10ml setiap kali penyusuan pada hari pertama sehingga hari ketiga.

clip_image003

Hari keempat, proses Lactogenesis II berlaku di mana susu matang akan keluar. Pada masa ini, ibu-ibu akan merasa payudara membengkak walaupun bayi tidak menghisap pada 3 hari pertama yang lalu. Ini kerana Lactogenesis II juga didorong oleh tindakan hormon. Kemudian diikuti dengan proses Lactogenesis III yang didorong oleh frekuensi/kekerapan payudara dikosongkan. Semakin kerap payudara dikosongkan, kadar penghasilan susu lebih cepat. Jesteru, kuantiti susu juga akan bertambah. Ini membuktikan bahawa setiap ibu yang mengandung akan menghasilkan susu dan susu memang wujud sejak hari pertama kelahiran bayi.

Tidak banyak susu

Dari segi saintifik, diakui akan ada ibu-ibu yang tidak mampu memberikan anaknya susu badan secara eksklusif/sepenuhnya disebabkan beberapa masalah kesihatan ibu itu sendiri, seperti hypothyroid, hypoplasia type breast, PCOS. Mereka yang menghadapi masalah ini biasanya mempunyai low mammary gland atau kurang kelenjar susu yang membawa kepada kurangnya penghasilan susu. Tetapi peratusannya adalah sangat kecil. Jika mereka yang menghadapi masalah seperti di atas sekali pun, dengan rawatan dan teknik penyusuan yang betul, ibu-ibu tersebut masih mampu memberikan anaknya susu badan sepenuhnya seperti ibu-ibu yang lain.

Susu cepat kering

clip_image005

Penghasilan susu adalah berdasarkan demand vs supply. Ia dimulakan dengan ransangan atau hisapan di payudara oleh bayi. Ransangan ini akan dihantar ke otak dan kelenjar pituitary di otak bertanggungjawab untuk merembeskan hormon prolaktin (menghasilkan susu) dan hormon oksitoksin (melancarkan pengeluaran susu). Proses ini berlaku dalam masa 1-2 minit. Untuk menghasilkan susu yang optimum, ibu-ibu harus memastikan yang payudara dikosongkan 8 – 12x dalam tempoh 24 jam dengan menyusukan bayi atau memerah apabila berjauhan dengan bayi. Selain dari hormon prolaktin dan oksitoksin, terdapat satu lagi hormon yang juga penting dalam penyusuan iaitu Feedback Inhibitor of Lactation (FIL). Apabila payudara semakin penuh, kelenjar pituitari akan merembeskan hormon FIL sebagai signal bagi memperlahankan penghasilan susu. Apabila keadaan ini berlarutan dari sehari ke sehari, lama-kelamaan penghasilan susu akan terhenti. Oleh itu disarankan agar ibu-ibu menyusukan bayi atau memerah apabila berjauhan dengan bayi sebelum hormon FIL dirembeskan atau payudara penuh iaitu 3-4 jam sekali.

Oleh itu, semua ibu ada susu dan mampu menyusukan anaknya. Hakikatnya penyusuan ibu itu adalah fitrah dan semua ibu mampu melakukannya.

Sumber: http://imedik.org/2010/12/susu-keringtiada-susu-betul-atau-mitos/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...