Tuesday, October 19, 2010

Ikhwan Untuk Semua

Oleh: Muhammad Ahmad ar-Rasyid

Sebahagian murabbi dan pemimpin dakwah merasa kecewa apabila berurusan dengan pengikut-pengikut mereka yang futur. Kesimpulan segera mereka ialah orang yang lemah memang lembab, manakala orang yang ada dua kaki hanya menggunakan sebelah kaki ke akhirat, sebelah kaki lagi mereka biarkan bergelumang dalam perhiasan dunia.

Pemimpin-pemimpin yang tidak sedikit bilangannya itu, -dalam keadaan tenggelam punca berdepan dengan hakikat kehidupan yang diciptakan Allah serta terlupa bahawa pembahagian kudrat akal dan gerakan hati sama seperti ketetapan-Nya dalam soal rezeki- mengambil jalan mudah mengetatkan keanggotaan jamaah dakwah, lalu berasa selesa dengan keunggulan jamaah rahsia. Mereka telah dibuai dengan khayalan sehingga menyangka bahawa formasi jamaah sebegitu adalah jawapan dan penyelesaian bagi pelbagai krisis dan kelemahan yang mereka hadapi. Tonggak rekabentuk jamaah mereka ialah orang yang genius, cerdik, bijak, berdaya tahan, banyak berkorban, peribadi yang kuat, penyabar, memiliki sifat proaktif, perintis, penemu perkara baru dan berani mengambil risiko.

Orang-orang yang lemah, kurang cerdik, lembab, tenggelam dalam rutin harian, pengejar pangkat tinggi dan keuntungan, yang sekadar mengintai-intai atau memang menyambar sedikit keseronokan, tempat mereka di sisi pemimpin-pemimpin tadi ialah platform-platform, jamaah-jamaah Islam yang lain dan institusi-institusi yang diwujudkan. Cukuplah bagi mereka sekadar membahagi-bahagikan senarai orang yang hebat dan elit yang ada pada mereka, untuk menyelinap ke dalam platform, jamaah dan institusi tersebut. Senarai orang hebat dan elit ini berperanan dalam kuasa pentadbiran platform, jamaah dan institusi tadi, di samping memainkan peranan untuk mendekatkan organisasi terbabit dan pendukung-pendukungnya kepada kefahaman, jalan dan objektif jamaah rahsia mereka. Bagi mereka, cara ini akan menghasilkan satu keseragaman umum yang dapat memenuhi tuntutan kepentingan Islam di negara terbabit, tanpa menzahirkan ikatan individu-individu elit itu dalam sebuah jamaah induk yang bersifat rahsia, yang mana hakikat mereka disembunyikan selama-lamanya.

Terdapat pengaruh hawa nafsu dalam perancangan sebegini, kilauan yang memperdayakan orang yang tergesa-gesa, menjadi satu impian yang melubuk di sanubari, sehingga menganggap pandangan mereka itu adalah hasil kesedaran yang sempurna, erti perkembangan yang stabil, kesimpulan pengalaman dan petanda kematangan. Tetapi, analisa secara tenang menzahirkan bahaya hala tuju ini, menampakkan beberapa kemungkinan timbulnya pelbagai masalah tarbiyah, mentaliti dan amali. Bahkan akan mengganggu dan mengelirukan fikrah, malah menggugat neraca iman dan fitrah sehingga tergendala. Sekurang-kurangnya ia merupakan penyelewengan daripada jalan al-Imam al-Banna rahimahullah dan uruf Ikhwan yang diwarisi.

Kami tidak mengatakan al-Imam Hasan al-Banna maksum. Kami juga tidak bermaksud bahawa struktur tanzim, manhaj tarbiyah dan pemikiran dakwah yang dimulakan oleh al-Imam dan dikembangkan oleh pengganti beliau merupakan perancangan terakhir dan penutup kefahaman. Sebaliknya, kami percaya perlunya pengembangan dan tidak memandang struktur tanzim sebagai kudus. Tetapi, setelah umur meningkat, pengalaman di medan semakin mendalam, kami panjangkan renungan, timbangkan hasil-hasil dan menjelajah ke negara Arab dan Ajam, kami dapati bahawa apa yang dibuat oleh al-Imam al-Banna tidak hanya lahir daripada ijtihad dan kefahaman jitu tentang dimensi serta kesyumulan dakwah, juga bagaimana cara untuk membina dan menyebarkannya, semata-mata. Bahkan ia lahir daripada ilham rabbani yang menunjukkan jalan yang betul.

Oleh sebab itu beliau menghimpunkan antara orang intelek dan sibuta huruf, muda dan tua, orang bandar dan orang kampung, pemberani dan pengecut, cerdik dan lembab, kuat dan lemah, kaya dan miskin, berdedikasi dan berkepentingan, lelaki dan perempuan, tergabung dalam satu jamaah yang berusaha mempersembahkan model Islam semampu mungkin, serentak teori dan amali. Semua itu berlaku secara terbuka mempromosi diri, kecuali ketika dikekang tuntutan darurat fasa permulaan dan pengasasan awal, atau ketika suasana ancaman ketegangan yang jarang berlaku.

Amal dakwah, yang syumul dan lengkap, mempunyai banyak bahagian, jenis dan terma, yang mana lebih separuh daripadanya merupakan perkara teknikal yang tidak memerlukan kecerdikan, ketahanan dan kekuatan luar biasa. Ia boleh saja dilaksanakan oleh para pendakwah yang naif, mungkin, dengan spontan dan mudah, dipimpin oleh keringkasan iman fitrah, tetapi pekerjaan itu tetap mempunyai nilai ihsan, itqan dan berkualiti. Pekerjaan itu tidak semestinya mudah bagi seseorang yang bijak lagi kuat dan berani untuk berbuat begitu. Bahkan kemungkinan kelompok pendakwah elit sendiri tidak mampu melakukannya, kerana mereka tidak dicipta untuk itu.

Setiap peribadi yang terbatas kemampuannya, ada tempatnya. Pada dinding dakwah ini ada bata yang diperbuat daripada emas, perak, tembaga, besi dan kaca. Bata emas akan cair kerana kepanasan melampau walaupun ia lebih berat daripada besi empat kali ganda. Besi yang keras pula tiada kilauan dan tidak cantik. Seni-seni tertegak di atas aliran kesamaan dan kepelbagaian warna itu. Begitulah kehidupan tertegak atas perhimpunan pelbagai darjat manusia.

Di dalam jamaah seharusnya berbaris petani di samping doktor, buruh di sebelah jurutera, pelajar dengan guru, wanita di belakang lelaki, sibijak di depan yang kurang bijak, sipemberani berjabat tangan dengan orang yang ragu-ragu, yang kuat mendorong yang lemah, yang cepat menarik yang lembab, kerana semuanya dipermudahkan mengikut tujuan ciptaannya. Tetapi hakikat-hakikat semudah ini kadang-kadang tidak disedari dan orang-orang yang bijaksana terpinga-pinga berdepan dengan rahsia kejadian qadar rabbani dan puncanya. Dalam sejarah kita dan sejarah Islam secara umum terdapat kisah-kisah mengagumkan dan peristiwa-peristiwa pelik yang menyingkap keindahan pembahagian qadar dan peranan. Dalam kisah-kisah itu (difahami) terdapat larangan agar tidak memandang sepi penyertaan orang yang kusut masai berkain buruk serta mengalu-alukan orang yang hanya kenal dua huruf.

Tentang bicara lalu, yang menitik beratkan penyertaan peribadi yang kuat lagi cerdik, di dalam Muntalaq atau al-Masar atau dalam buku ini, ia merupakan kelebihan yang tidak dipersoalkan dan difahami dengan sebaiknya, atau ia adalah wasiat fasa pengasasan, kerana terdapat dalam fasa tersebut situasi yang kritikal. Manakala selepas fasa itu, pintu dakwah sentiasa terbuka bagi sesiapa yang datang dengan keikhlasan. Berapa ramai pendakwah yang berada dalam saf paling akhir, yang mana kalau dia tidak hadir tiada siapa yang akan bertanya, telah mencoret kisah-kisah keberanian. Apabila niat ikhlas, amalan akan diberkati. Huruf-huruf daripada kitab iman, qadar dan keberkatan ini tidak dikenali selain orang yang tenggelam dalam kolam; kolam pengorbanan dakwah.


Sumber : Blog Ustaz Hazizi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...